mutakhir

Mohamad Zulfahmi Faisal sepatutnya bertunang 20 April

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

“SEPATUTNYA dia bertunang dengan gadis pilihan dua minggu lagi, tetapi Allah SWT lebih menyayanginya,” kata Faridah Sulong, ibu Mohamad Zulfahmi Faisal Mohd Marzuki yang maut dalam kemalangan dekat Kampung Bukit, Chendering, Kuala Terengganu malam tadi.

Selain Mohamad Zulfahmi Faisal, 25, yang bekerja sebagai operator kilang, kemalangan itu turut mengorbankan rakan sekerjanya, Mohamad Khairul Izuan Ariff, 22, selepas motosikal Honda EX5 ditunggangi mereka bertembung satu sama lain dalam kejadian jam 8.10 malam itu.

Ketika kejadian, Mohamad Zulfahmi Faisal yang bekerja syif malam dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Kampung Banggol Pasir Tinggi, Marang ke kilang elektronik Aptiv, Chendering, manakala Mohamad Khairul Izuan yang bekerja syif pagi di kilang sama dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Paya Resak, Marang.

Faridah, 47, berkata anak sulung dari tiga beradik itu bersikap biasa dan bersalaman dengannya sebelum ke tempat kerja dan mereka sekeluarga terkejut apabila menerima berita Mohamad Zulfahmi Faisal meninggal dunia dalam kemalangan.

Katanya, semua persiapan termasuk cincin dan hantaran untuk majlis pertunangan Mohamad Zulfahmi Faisal dengan pasangannya, Nor Syahirah Ahmad, 22, pada 20 April ini sudah siap.

“Kami sekeluarga terutama Mohamad Zulfahmi Faisal teruja untuk majlis pertunangan itu, namun siapa sangka umurnya tidak panjang. Kami sekeluarga masih terkejut dengan pemergiannya, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga, dia sangat bertanggungjawab... Setiap pagi bantu saya yang berniaga kuih.

“Malah dia sanggup menolak tawaran bekerja di luar Terengganu kerana mahu jaga keluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sementara itu, Nor Syahirah yang masih terkejut dengan kejadian dan tidak dapat menahan air mata berkata, mereka saling mengenali sejak lima bulan lalu di tempat kerja.

Katanya, mereka sepakat mengikat tali pertunangan minggu depan serta merancang berkahwin selewat-lewatnya tahun depan.

“Siapa tak sedih. Sejak mengenalinya dia sering nasihatkan saya supaya menjaga solat dan bijak menjaga diri.

“Dia juga selalu pesan supaya sentiasa berbuat baik dengan orang. Dia memang lelaki yang baik, namun apakan daya jodoh kami tak panjang,” katanya sayu.

Dalam pada itu, kakak sulung Mohamad Khairul Izuan, Nurul Nabila, 27, berkata, adiknya yang juga anak bongsu dari tiga beradik itu sepatutnya habis kerja lebih awal, tetapi pulang lewat kerana bekerja lebih masa.

Katanya, ketika dimaklumkan mengenai kejadian oleh seorang rakan adiknya, dia menyangka Mohamad Khairul Izuan hanya kemalangan biasa berikutan sudah beberapa kali terbabit kemalangan motosikal.

“Tidak sangka dia pergi meninggalkan kami buat selamanya. Dia baru membeli sebuah Perodua Kancil terpakai daripada bapa saudara hasil titik peluhnya bekerja.

“Dia juga tidak sabar untuk membawa ibu, Rohana Muda, 49, bersiar-siar, namun nampaknya hajatnya itu tidak kesampaian.

“Walaupun arwah anak bongsu, dia sangat bertanggungjawab pada keluarga terutama sejak bapa, Arif Mohamed, meninggal dunia pada 2010 kerana sakit paru-paru... Kini kami kehilangan tempat bergantung harap,” katanya.

Berita berkaitan

Dua rakan sekerja maut motosikal bertembung

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 6:59pm
d