mutakhir

Selesaikan isu kepimpinan Pengakap Melaka

Oleh Mohd Hilmie Hussin

PENGERUSI Majlis Pengakap Melaka Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendakwa kelemahan kepimpinan Ketua Pengakap Negara menimbulkan kecelaruan dalam kepimpinan pengakap negeri.

Shamsul Iskandar yang dipilih menerusi mesyuarat agung November lalu berkata, akibat kelemahan itu, kini berlaku konflik dalaman pengurusan pertubuhan terbabit di negeri ini.

Shamsul Iskandar berkata, pelbagai isu kepimpinan perlu diselesaikan membabitkan Majlis Pengakap dan Pesuruhjaya Pengakap negeri selain isu ketirisan pengurusan kewangan yang diurus ahli jawatankuasa terbabit.

Malah katanya, kini timbul satu lagi isu, apabila Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Norhizam Hassan Baktee dicalonkan sebagai pemangku pengerusi awal bulan ini, sehinggakan berlaku pertindihan peranan dalam pertubuhan terbabit.

“Sehubungan itu, saya minta Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh menunjukkan kepimpinan beliau dengan memberi maklum balas isu dengan memperjelas kedudukan kepimpinan jawatankuasa yang sah di Melaka.

“Perkara ini bukan sahaja merencatkan segala program pengakap negeri malah turut menyebabkan siasatan ketirisan akaun kewangan pertubuhan yang lesap, tidak dapat disiasat dengan baik,” katanya dalam sidang media di Kem Pengakap Melaka di Jalan Kampung Pengkalan Badak, hari ini.

Beliau berkata, pada 10 November tahun lalu, barisan jawatankuasa baharu termasuk dirinya dipilih dalam Mesyuarat Agung Majlis Pengakap Melaka.

Bagaimanapun, ia tidak diperakui oleh jawatankuasa tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia kerana tidak mematuhi Prosedur Organisasi dan Peraturan (POR) serta Undang-undang Kecil Pengakap Negeri Melaka yang gagal membentangkan laporan tahunan kewangan.

Semalam NSTP melaporkan, Norhizam meminta barisan ahli jawatankuasa Persekutuan Pengakap Melaka sesi 2015 hingga 2018 diberi tempoh seminggu untuk menyerahkan dokumen berkaitan termasuk laporan kewangan persatuan itu.

Norhizam dipetik berkata, pihaknya tidak teragak-agak membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika jawatankuasa lama gagal mengemukakan semua dokumen dalam tempoh ditetapkan.

Sementara itu, Shamsul berkata, sehingga kini, beliau sudah meminta jawatankuasa Bendahari meneliti laporan kewangan sebelum melantik satu jawatankuasa luar bagi menyiasat isu itu dengan lebih telus.

“Setakat ini kita mengumpulkan penyata akaun dan meminta mana-mana pihak (kepimpinan lama) yang mempunyai maklumat tampil bersama-sama membantu menyelesaikan isu pertubuhan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Kehormat Pengakap Melaka, Thomas Ong Tai Chu berkata, sehingga kini pihaknya gagal mengesan aktiviti laporan kewangan bagi tempoh 2016 sehingga 2018 dengan sejumlah RM225,000 digunakan pada tiga tahun lalu.

“Kita tidak ada maklumat berkaitan aktiviti kewangan, manakala ahli jawatankuasa yang mengendalikan akaun ketika itu juga tidak meninggalkan dokumentasi.

“Selain itu, kita juga mengesan duit aset dengan jumlah bulanan kira-kira RM7,000 yang dikutip secara tunai juga tidak dimasukkan ke dalam akaun pertubuhan ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 7:32pm
d