mutakhir

Nak selesai senarai hitam, ditipu pula [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

TINDAKAN seorang lelaki mahu menyelesaikan masalah senarai hitam Credit-Tip-Off (CTOS) dengan meminjam dari syarikat pemberi pinjam wang yang mengiklankan perkhidmatan menerusi Facebook (FB) mengundang padah apabila dia menjadi mangsa penipuan scammer.

Bukan saja tidak mendapat wang pinjaman kononnya diluluskan sehingga RM36,000, malah mangsa yang juga anggota keselamatan itu turut melakukan lima kali pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM7,520 sebagai syarat sebelum wang pinjaman diberikan.

Menceritakan semula kesilapannya sehingga diperdaya sindiket itu, mangsa hanya mahu dikenali sebagai Nor, 30-an, berkata, dia terbaca iklan di FB mengenai sebuah syarikat yang memberikan pinjaman walaupun prospek si peminjam mempunyai masalah CTOS atau Centre Credit Reference Information System (CCRIS).

“Lebih meyakinkan apabila saya baca iklan di FB itu, syarikat berkenaan mendakwa diiktiraf Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank komersial.

“Saya kemudian menghantar butiran diri di ruangan komen peribadi syarikat berkenaan termasuk nama, pengenalan diri, nombor telefon dan alamat.

“Keesokannya seorang wanita menghubungi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai minat saya mahu membuat pinjaman peribadi, saya mengaku terdesak untuk selesaikan masalah senarai hitam CTOS.

“Dia mengatakan tiada masalah dan meminta saya menghantar salinan slip gaji dan MyKad, saya akur,” katanya.

Menurutnya, urusan berkenaan hanya dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp kerana syarikat pemberi pinjam wang itu mendakwa sememangnya segala urusan mudah dilakukan dengan aplikasi itu.

Nor berkata, beberapa minit selepas dia menghantar butiran MyKad dan slip gaji itu pihak syarikat itu menghubunginya semula dengan memberikan berita gembira pinjaman diluluskan RM30,000.

“Namun dia minta wang pendahuluan RM480 untuk urusan dokumentasi dan kali pertama saya mula bayar kepada 8 Mac lalu. Kemudian pihak syarikat itu meminta wang lagi dengan pelbagai alasan.

“Antaranya untuk insurans wang yang dipinjam, pelepasan CTOS, pengesahan kemasukan dokumen untuk meminjam dan menaikkan jumlah pinjaman kepada RM36,000.

“Lima kali saya diminta bayar iaitu RM480, RM680, RM1,500, RM2,160 dan RM2,700 sebelum talian syarikat itu gagal untuk dihubungi lagi.

“Saya lihat paparan iklan syarikat itu di FB juga sudah dinyahaktif,” katanya.

Nor yang buntu kemudian mendapatkan khidmat nasihat Kelab Generasi Patriot Malaysia (GenPatriot).

Presiden GenPatriot Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata, pihaknya sudah membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang.

“Pengalaman saya sebelum ini sebagai bekas pegawai penyiasat polis mendapati kes mangsa adalah berkenaan Pinjaman Tidak Wujud (PTW) yang menggunakan keldai akaun sebagai saluran wang daripada mangsa kepada pihak scammer.

“Keldai akaun digunakan sindiket adalah pelbagai termasuk pemilik yang sebenar pernah meminjam along atau akaun itu dijual oleh penagih dadah.

“Buat masa ini, kes mangsa ini masih dalam siasatan pihak polis. Sementara itu, menggunakan rangkaian ada pihak NGO kami juga sedang mengesan scammer yang terbabit,” katanya.

Menurutnya, sebarang masalah GenPatriot boleh dihubungi di talian hotline 01139992615.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 7:48pm
d