mutakhir

Malang berganda...

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

DUA hari selepas kehilangan bapa mentua, bumbung rumah pula diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Parit Mentara 2, Bagan Serai, petang semalam.

Itu nasib dialami Mohd Faizal Jaffri, 36, bersama isteri Norwahidah Idris, 37, serta tiga anak mereka.

Ketika kejadian 6.10 petang itu, hanya tiga anak Mohd Faizal berada dalam rumah, manakala dia dan isteri sedang membuat laporan polis di Bagan Serai berkaitan kes kemalangan maut membabitkan bapa mentuanya, Idris Alias, 80, Selasa lalu.

Menurutnya, dia menerima panggilan daripada anak sulungnya berusia 14 tahun memaklumkan bumbung utama rumah diterbangkan ribut.

“Saya dan isteri bergegas pulang sebelum mendapati lebih separuh bumbung rumah diterbangkan.

“Menurut anak, mereka tiga beradik berada dalam rumah sebelum terdengar deruan angin kuat dan tidak lama kemudian bumbung rumah terangkat beberapa kali sebelum tercabut diterbangkan angin.

“Mujur kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada anak,” katanya ketika ditemui.

Mohd Faizal berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan ahli keluarga terpaksa tidur berhimpit di ruang tamu rumah kerana bilik utama basah dimasuki air hujan.

Katanya, dia berharap mendapat bantuan segera membaiki kediamannya yang rosak itu memandangkan kini cuaca sering hujan.

Sementara itu, Pengarah Strategi Parlimen Bagan Serai, Noor Azman Ghazali, ketika dihubungi memaklumkan akan memberi bantuan awal kepada semua mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Menurutnya, sehingga 9.30 malam tadi pihaknya menerima maklumat empat rumah di Parlimen Bagan Serai membabitkan kediaman di Kampung Parit Mentara 2, Parit Mentara 3 dan Telok Medan rosak dilanda ribut.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 1:41am
d