mutakhir

Buang ketumbuhan 10 jam

Oleh Ramli Ibrahim

MUHAMAD Arshad Daniel Halim, 12, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di belakang pinggang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, kelmarin.

Ibunya, Zariah Wahab, 39, berkata, Muhamad Arshad kini dalam keadaan stabil dan memberi reaksi positif.

Dia menderita penyakit ketumbuhan di belakang pinggang hingga menyebabkannya tidak dapat hadir ke sekolah.

Zariah yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil berkata, anaknya dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu.

Katanya, pembedahan membuang ketumbuhan itu mengambil masa 10 jam bermula jam 2 petang sehingga jam 12 tengah malam.

“Selepas berakhirnya pembedahan itu, barulah hilang perasaan bimbang saya terhadap kesihatan anak yang perlu membuat persiapan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tidak lama lagi,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Chalil itu tidak dapat hadir ke sekolah sejak sebulan lalu kerana menderita penyakit ketumbuhan di belakang badan.

Muhamad Arshad Daniel menanggung sakit dan tidak boleh tidur malam sebelum dikejar ke Hospital Gua Musang (HGM) dan dihantar ke HUSM.

Zariah berkata, hanya selepas sejam pembedahan selesai, barulah Daniel mulai sedar dan dia menitiskan air mata apabila pembedahan dilakukan dengan selamat.

Katanya, dia rela menunggu sehingga anaknya kembali sembuh.

“Daniel tidak dibenarkan tidur terlentang, sebaliknya dinasihat tidur meniarap selama sebulan supaya luka di tempat pembedahan tidak melarat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan Daniel dan menyumbangkan bantuan bagi meringankan beban kami,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 8:01am
d