mutakhir

Budak dikhuatiri lemas

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

KANAK-KANAK lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Pergau berhampiran kawasan lombong emas Kuala Balah, Jeli, semalam.

Mangsa, Muhammad Faris Izwan Mohd Fazli, 6, mandi sungai berkenaan pada 3 petang bersama dua rakannya berusia enam dan sembilan tahun sebelum dihanyutkan air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, sebaik melihat mangsa dikhuatiri lemas, dua rakannya yang juga adik beradik yang tinggal berdekatan rumah pulang ke rumah mereka tanpa memaklumkan kepada ibu bapa mangsa.

“Selepas melihat anaknya tidak pulang sehingga Maghrib, bapa kanak-kanak itu mencari di sekitar sungai dan menemui pakaian anaknya.

“Sebaik mengetahui kejadian itu, bapa mangsa menghubungi bomba untuk mencari dan menyelamat.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 9.23 malam. Seramai 18 anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian bagi usaha mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pencarian turut dibantu penduduk kampung, namun mangsa belum ditemui.

Beliau berkata, operasi tamat pada 1.20 pagi dan bersambung 8 pagi hari ini.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 10:23am
d