mutakhir

Ringgit mengukuh

Oleh BERNAMA

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar US (Amerika Syarikat) hari ini susulan berita mengenai lebihan dagangan bagi Februari 2019 yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pada 9.06 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.0800/0850 berbanding dolar US daripada 4.0810/0840 semasa ditutup semalam.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri semalam mengumumkan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM11.06 bilion pada Februari 2019, naik 22.7 peratus tahun ke tahun berbanding Februari 2018.

Peniaga berkata, walaupun eksport pada bulan tersebut merosot 5.3 peratus tahun ke tahun disebabkan aktiviti perindustrian yang lemah semasa perayaan Tahun Baru Cina, import turut mencatatkan penurunan yang mengejutkan sebanyak 9.4 peratus.

“Bagaimanapun, peningkatan ringgit dihadkan oleh kemerosotan harga minyak,” katanya.

Penanda aras antarabangsa niaga hadapan minyak mentah Brent susut 23 cents kepada US$69.17 setong manakala minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) merosot dua cents kepada US$62.08 setong.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0115/0172 daripada 3.0145/0174 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6517/6565 daripada 3.6624/6661.

Ringgit tinggi berbanding pound British kepada 5.3370/3444 daripada 5.3686/3741 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5782/5858 daripada 4.5809/5859.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 10:37am
d