mutakhir

Jalan tutup sempena LTdL 2019

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

BEBERAPA jalan sekitar ibu negara akan ditutup bagi memberi laluan kepada acara perlumbaan berbasikal Le Tour De Langkawi (LTdL) 2019 yang akan bermula esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua laluan itu akan ditutup serta akan dilencongkan bermula 11 malam hari ini sehingga selesai perlumbaan esok.

Katanya, lencongan awal dibuat di Jalan Ampang di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang menjadi lokasi pembukaan dan pelepasan perlumbaan itu.

“Perlumbaan berkenaan akan melalui 10 laluan di ibu negara bermula di Jalan Ampang seterusnya ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Loke Yew, Jalan Cheras, Lebuhraya Lingkaran Tengah II (MRR2), Bulatan Kuari sehingga ke Jalan Kuari.

“Jadi bermula 11 malam ini, lencongan awal akan dibuat di Jalan Ampang di hadapan KLCC bagi kerja-kerja persiapan logistik dan teknikal sempena perlumbaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, selain itu beberapa laluan sekitar ibu negara juga akan ditutup kepada lalu lintas dan dilencongkan buat sementara waktu sehingga selesai perlumbaan berkenaan.

Katanya, antara laluan itu membabitkan Jalan Tun Razak/Jalan Ampang, Jalan Yap Kwan Seng/Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang/Jalan Sultan Ismail, Jalan Sultan Ismail/Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Laut/Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching/susur ke Jalan Tun Razak, Bulatan Dato Onn/Jalan Kinabalu, Bulatan Sungai Besi menghala ke Kajang, Bulatan HUKM menghala ke Kajang, Bulatan Billion menghala ke Bulatan Kuari, MRR2/Bulatan Kuari dan Jalan 1/Jalan Kuari.

“Kesemua laluan itu ditutup serta dilencongkan bagi kawalan keselamatan dan pengguna dinasihatkan untuk memberi kerjasama kepada anggota trafik yang bertugas.

“Sebaik-baiknya, elakkan melalui jalan yang terbabit dengan penutupan atau lencongan berkenaan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan dan gunakan kemudahan pengangkutan awam jika mahu masuk ke ibu negara,” katanya.

Sementara itu, LTdL 2019 dalam satu kenyataan turut memaklumkan acara perlumbaan berkenaan akan melalui dua lagi negeri membabitkan Selangor sebelum tamat di Tampin Square, Negeri Sembilan.

Katanya, sehubungan itu, laluan di dua negeri itu juga akan turut ditutup kepada lalu lintas bermula 7 pagi hingga 7 petang.

Antara laluan di Selangor yang akan ditutup kepada lalu lintas adalah Jalan Taman Putra, Jalan Hulu Langat, Pekan Batu 14, Pekan Batu 18 dan Jalan Sungai Linggi.

Manakala laluan di Negeri Sembilan yang akan ditutup bagi tempoh sama membabitkan laluan Genting Peres, Jalan Titi, Kuala Kelawang, Pantai, Ampangan, Bukit Putus, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Senaling dan Tampin.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 11:54am
d