mutakhir

Didakwa bunuh kekasih

Oleh BERNAMA

SEORANG nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita pada 30 Mac lalu.

Ali Ahmad, 55, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret L Umma Devi.

Tiada pengakuan direkodkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan, kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Ali didakwa membunuh Surinder Kaur Bedi Kirpal Singh, 37, di tepi jalan Persiaran Bayan Indah, dekat sini di antara pukul 10 malam dan 10.45 malam pada 30 Mac lepas.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi semakan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 12:19pm
d