mutakhir

Tiada kes denggi serius di Miri

Oleh Kandau Sidi

WABAK demam denggi yang dilaporkan serius dan tular di media sosial dekat Kampung Lusut dan Taman Tunku Miri, Miri, adalah tidak tepat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, hanya ada satu kejadian wabak denggi berlaku di Kampung Lusut Jaya 3, sehingga kini.

Sebaliknya, beliau berkata, tiada kejadian wabak denggi dilaporkan berlaku Taman Tunku Miri seperti disebarkan di media sosial.

“Jabatan Kesihatan Sarawak ingin merujuk kepada status terkini berhubung mesej tular di media sosial mengenai wabak denggi yang berlaku di Kampung Lusut dan Taman Tunku.

“Dimaklumkan, kandungan mesej berkenaan adalah tidak tepat. Malah, usaha sudah dilakukan untuk menangani penularan wabak itu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Jamilah berkata, usaha menangani wabak denggi di Kampung Lusut Jaya 3 sudah dilaksanakan melalui aktiviti kawalan dan pencegahan.

Beliau berkata, ia membabitkan kerjasama pelbagai agensi terutamanya Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri, Pejabat Daerah Miri, Majlis Bandaraya Miri dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di kawasan itu.

Katanya, penduduk kampung itu dinasihat memastikan kawasan persekitaran dalam dan luar rumah mereka sentiasa bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk aedes.

“Antara langkah yang perlu mereka ambil ialah memusnahkan tempat yang boleh menakung air dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 1:53pm
d