mutakhir

Malarvizhi cuba serah manifesto kepada Anwar [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

SAMBUTAN Ulang Tahun 20 tahun PKR bertemakan ‘Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’ di Dataran Rantau, malam tadi hampir ‘dicemari’ insiden tidak diingini berpunca daripada calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau R Malarvizhi.

Ia berlaku apabila calon wanita berusia 51 itu tiba-tiba tampil di ruang hadapan pentas yang menempatkan beberapa pemimpin utama PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk memohon dibenarkan menyerahkan manifestonya kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara pemimpin utama yang hadir pada sambutan bertemakan ‘Dua Dekad Merakyatkan Reformasi’ itu adalah Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali; Ketua Sekretariat PH yang juga Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat, PKR Syed Husin Ali.

Pemimpin lain adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Bagaimanapun tindakan Malarvizhi itu dihalang polis dan petugas PKR menyebabkan dia tidak dapat memasuki ruang berkenaan.

Majlis sambutan kemudian berjalan lancar seperti dijadualkan tanpa sebarang gangguan.

Sementara itu Malarvizhi berkata, sebagai calon dalam PRK Rantau dia berhak untuk menyampaikan manifestonya kepada Anwar.

“Sebaliknya, saya dihalang dan diusir begitu sahaja,” katanya kepada pemberita sebelum beredar.

Sambil berjalan meninggalkan majlis, bekas penyampai radio di Kanada itu sempat mengangkat kertas manifesto yang dibawanya untuk ditunjukkan kepada orang ramai.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 2:28pm
    d