mutakhir

Salah guna kuasa bagi pemilikan 13 lot tanah [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Penolong Eksekutif FELCRA Urus Estet Changkat Jong, Teluk Intan, semalam bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa.

Lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Perak di Meru, Ipoh 11.17 malam tadi selepas dipanggil memberikan keterangan.

Suspek dipercayai menyalahguna kuasa membabitkan 13 lot tanah milik FELCRA Berhad, antara 2007 hingga tahun lalu.

Lelaki berkenaan yang memakai baju lokap SPRM kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman.

Penolong Pendaftar, Azuratul Akmar Abdul Ghafar membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 8 April ini.

Sumber SPRM berkata, suspek dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai penolong eksekutif untuk mendapatkan pemilikan 13 lot tanah dengan cara menamakan individu dikenalinya kepada pihak Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah (JKPTD) Hilir Perak.

Katanya, semua individu berkenaan dinamakan sebagai peserta di satu kawasan Rancangan Pertanian Berkelompok di bawah Projek Tanah Milik FELCRA Berhad sebelum dipindah milik kepada diri sendiri dan saudaranya selepas lima tahun.

“Berikutan pemilikan 13 lot berkenaan, suspek dan saudaranya turut menerima bayaran dividen dari pihak FELCRA Berhad dengan jumlah terkumpul lebih RM1 juta bermula 2008 hingga sekarang sebagai peserta Projek Tanah Milik FELCRA.

“Antara 2012 hingga sekarang, suspek juga dikatakan meminta wang berjumlah RM40,000 dari beberapa penduduk setempat dan kenalannya.

“Ia dipercayai sebagai balasan menggunakan kedudukannya dalam memasukkan nama mereka bagi mendapatkan tanah termasuk tanah berstatus rizab Melayu kepada bukan Melayu,” katanya.

Sumber berkata, hasil penggeledahan di rumah suspek menemui pelbagai barangan yang disyaki dimiliki hasil kegiatan rasuah iaitu dua kenderaan jenis Toyota Harrier dan Toyota Hilux, dua set sofa mewah, 22 beg tangan berjenama, sembilan geran lot tanah atas nama suspek dan saudaranya serta sebuah banglo bernilai lebih RM600,000.

Katanya, jumlah keseluruhan aset yang dimiliki oleh suspek dianggarkan melebihi RM1 juta berbanding kemampuan emolumen yang diperolehnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 2:49pm
d