mutakhir

AADK Klang awasi 778 OKP

Oleh Faliq Lajim

SERAMAI 778 individu yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini disenaraikan sebagai Orang Kena Pengawasan (OKP) sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu rata-ratanya bekerja dalam sektor industri perkilangan dan terbabit dengan syabu serta heroin.

Ketua AADK Klang, Baharuddin Ahmad berkata, semua individu itu kini diawasi pihaknya dalam tempoh dua hingga tiga tahun seperti yang ditetapkan mahkamah.

“OKP akan berada dalam pengawasan kita dalam tempoh itu dan mereka perlu menjalani pemeriksaan air kencing sebulan sekali selain menjalani rawatan serta pemulihan lanjut.

“Selain itu, mereka akan diberikan ceramah dan kaunseling serta membabitkan diri dalam aktiviti masyarakat setempat.

“AADK tidak mahu mereka hanya mendengar ceramah atau kaunseling di pusat kita semata-mata, sebaliknya mahu mereka melakukan perkara yang mendatangkan faedah,” katanya pada sidang media pada sidang media selepas program Training Of Trainers (TOT) di Klang, hari ini.

Program itu disertai seramai 25 ahli skuad AADK yang terdiri daripada pengerusi dan ahli jawatankuasa daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta penghulu kampung di bawah Parlimen Kapar.

Baharuddin berkata, semua individu itu akan bertindak sebagai mata dan telinga pihaknya bagi membantu agensi di daerah ini membanteras dadah.

“Saluran maklumat itu termasuk lokasi penagihan dadah, pengedaran bahan larang berkenaan, di samping bekerjasama dalam usaha merawat dan memulihkan penagih.

“Mereka juga boleh menyampaikan mengenai bahaya dadah dan memberi bimbingan kepada segelintir masyarakat yang terbabit dalam aktiviti dadah di dalam kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan seramai 10 orang ahli skuad AADK dalam tempoh sebulan setiap tahun secara sukarela menyertai program itu.

“Skuad ini juga secara tidak langsung membantu melihat dan memantau OKP supaya tidak terjebak kembali dalam kancah penyalahgunaan dadah.

“Namun, ia tidak mempunyai kuasa untuk menangkap atau menyoal siasat penagih dadah kerana tugas itu hanya boleh dilakukan oleh anggota atau pegawai AADK,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 4:05pm
d