mutakhir

Lelaki tawar pelaburan tak wujud ditahan

Oleh Shahrinnahar Latib

POLIS memberkas lelaki dipercayai terbabit dalam aktiviti menawarkan pelaburan dalam bidang pengangkutan pelancongan dan dobi yang tidak wujud semalam.

Lelaki itu ditahan di perkarangan Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abdul Rahman berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditahan berikutan satu laporan polis dibuat seorang wanita di IPD Maran, baru-baru ini.

“Laporan polis dibuat seorang wanita berusia 46 tahun yang mendakwa suspek menipu mangsa hingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM60,000.

“Berdasarkan laporan polis itu, mangsa mengenali suspek ketika di bandar pusat Jengka pada awal 2016 dan suspek dikatakan mengajak mangsa membuat pelaburan di syarikat milik suspek.

“Suspek turut berjanji membayar imbuhan atau keuntungan setiap bulan, namun sehingga laporan polis dibuat, mangsa hanya menerima RM10,000 saja daripada suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norzamri berkata, suspek yang menetap di Jerantut sudah dibawa ke IPD Maran untuk siasatan lanjut dan ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 5:08pm
d