mutakhir

Sup panas, belon ceriakan anak pelarian

Oleh BERNAMA

MENIKMATI hidangan sup panas secara beramai-ramai antara aktiviti yang dijalankan delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bagi menyantuni 35 keluarga pelarian Syria di kem pelarian Dataran Beyrouti, Beqaa, Lubnan.

“Selain aktiviti memasak sup dan makan secara beramai-ramai berhampiran unggun api, Mapim turut menghulurkan sumbangan berupa makanan asas dalam pek, baju panas dan selimut tebal kepada hampir 150 orang pelarian membabitkan keseluruhan 35 keluarga di kem ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery.

Menurutnya, RM500,000 diperuntukkan bagi menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas kepada pelarian Syria yang berada di Lubnan.

“Tahun ini adalah tahun kelapan pelarian Syria berada di kem ini dan menjadi objektif Mapim meringankan beban mereka mengharungi musim sejuk sekarang,” katanya.

Suhu sejuk yang mencecah empat darjah Celsius tidak langsung mematahkan semangat 13 orang anggota delegasi Mapim untuk melakukan aktiviti bersama pelarian di kem itu.

Kanak-kanak di kem itu turut mengukir senyuman ketika menyertai aktiviti meniup belon.

Ahmad Sani berkata misi kemanusiaan itu terbahagi kepada dua bahagian – misi ke-10 membabitkan penyerahan bantuan makanan dan keperluan asas buat pelarian Syria yang berada di Lubnan serta misi ke-11 membabitkan pemberian bantuan barangan keperluan asas kepada pelarian di Syria.

Tambahnya, bantuan kemanusiaan daripada Mapim diharap dapat meringankan beban pelarian yang serba kekurangan dan hidup secara daif di kem-kem di kedua-dua negara itu dan menggesa rakyat Malaysia terus bermurah hati menghulurkan bantuan.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari www.tabungsyria.com dan sumbangan boleh disalurkan antara lain melalui akaun Maybank Islamic Mapim, 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal).

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 5:38pm
d