mutakhir

Peminjam kini dilindungi

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SYARIKAT pemberi pinjaman wang (PPW) dijenamakan semula sebagai Kredit Komuniti, sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap syarikat berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penjenamaan semula itu bukan sahaja dari segi nama malah merangkumi imej, etika perkhidmatan perniagaan dan proses untuk mendapatkan lesen perniagaan sebagai peminjam wang.

Katanya, melalui Kredit Komuniti ia juga dapat melindungi peminjam dari dikenakan sebarang tindakan kekasaran yang sering ‘menghantui’ mereka.

“Jika pergi ke syarikat peminjam wang atau sering digelar sebagai ‘ah long’, peminjam ini tidak akan dilindungi.

“Berlainan pula dengan Kredit Komuniti yang mana peminjam akan dilindungi pihak bertanggungjawab, jika mereka gagal membayar pinjaman kita ada cara dan tindakan mengikut undang-undang.

“Menerusi penjenamaan semula ini, ia dapat membantu peniaga kecil yang ingin meminjam duit untuk memulakan perniagaan tanpa perasaan takut,” katanya ketika melancarkan Kredit Komuniti di Putrajaya, hari ini.

Zuraida berkata, semua 4,115 PPW yang berdaftar di bawah KPKT diberi tempoh selama tiga bulan untuk menukar papan tanda mengikut logo baharu yang ditetapkan oleh pihak kementerian.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seharusnya dinaik taraf kerana skop kerja mereka ketika ini tiada protokol berbanding pasukan keselamatan lain.

“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pasukan bomba ini diberi perhatian dan sudah tiba masanya untuk dinaik taraf.

“Kerja menyelamat oleh pasukan bomba kini lebih meluas, jadi kita perlu lihat kembali peranan mereka dan elaun kritikal serta soal perjawatan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 6:26pm
d