mutakhir

Lelongan motosikal tular palsu - MBPJ

Oleh Norizuan Shamsuddin

MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menafikan menawarkan lelongan awam tender pelupusan aset membabitkan motosikal model Yamaha RXZ dan 125Z pada 15 hingga 16 April ini seperti tular di media sosial sejak semalam,.

MBPJ menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan senarai dan gambar motosikal yang tersebar itu adalah palsu dan bukan aset lelongan awam kenderaan sebenar yang dilelong pihaknya.

“Sebaliknya, lelongan kenderaan awam yang dilaksanakan MBPJ di Pusat Inovasi Petaling Jaya pada tarikh itu membabitkan 31 unit kenderaan empat roda membabitkan kereta, kenderaan pacuan empat roda, van, pikap dan jentera berat.

“Kenderaan dua roda atau motosikal yang ditawarkan adalah 21 unit motosikal model Modenas Kriss dan satu unit Yamaha 135LC.

“Lelongan dilakukan menerusi dua sesi iaitu sesi pertama dari 9 hingga 10.30 pagi pada 15 April dan sesi kedua 16 April.

“Semua aset dilelong boleh dilihat di Pusat Inovasi Petaling Jaya dari 9.30 pagi hingga 4.30 petang mulai 8 hingga 12 April ini,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung lelongan awam kenderaan boleh melayari laman rasmi MBPJ melalui www.mbpj.gov.my atau menghubungi pegawai Bahagian Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Kejuruteraan Awam di talian 03-79541030 (Hairolazmi Juman Shah).

Sebelum itu, dua senarai yang memaparkan 27 motosikal yang didakwa ditawarkan untuk lelongan awam kenderaan oleh MBPJ tular di media sosial.

Menerusi senarai itu, 18 motosikal ditawarkan adalah membabitkan model Yamaha RXZ dan tujuh lagi adalah model Yamaha 125Z yang dibuka untuk bidaan dengan harga bermula daripada RM50 hingga RM1,800 seunit.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 6:39pm
d