mutakhir

Tiga beranak perlukan bantuan

Oleh Adnan Ibrahim

IBU muda berusia 20 tahun memerlukan bantuan orang ramai untuk membesarkan anak perempuannya berusia 10 bulan dan menguruskan suami yang terlantar akibat kegagalan saraf otak.

Nur Afifah Ishak berkata, dia tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga bayi perempuannya, Puteri Ara Delisha selain menjaga suami, Muhamad Daniel Azrai Ami, 22, sepenuh masa.

Katanya, suaminya yang bekerja sebagai kelindan lori di Pasar Awam Batu Pahat kini tidak boleh bekerja menyebabkan mereka tiga beranak kehilangan punca pendapatan dan menumpang di rumah keluarga mentuanya di Kampung Pantai dekat situ.

“Hujung tahun lalu, kami berkelah di Port Dickson, Negeri Sembilan, tiba-tiba nadi suami terhenti kira-kira 30 minit akibat sawan.

“Suami tak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Port Dickson dan doktor memberitahu keadaan suami kritikal dan badannya bertukar kebiruan selain tiada denyutan nadi.

“Namun hampir 30 minit diberikan rawatan suami bernafas semula tetapi kini hanya terlantar dan tidak boleh menguruskan diri termasuk makan serta menggunakan tiub untuk mendapatkan susu khas,” katanya.

Nur Afifah ditemui ketika menerima lawatan Ziarah Kasih Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Jati Batu Pahat (PKAAJBP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) semalam.

Hadir sama, Setiausaha Biro Kebajikan PKAAJBP, Mohd Hamidi Mad Tap dan Penolong Pengurus PERKESO Batu Pahat, Mohd Saifuddin Mohd Noor.

Nur Afifah berkata, selepas dipindahkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pasukan perubatan memberitahu suaminya mungkin mengalami kegagalan saraf otak menyebabkannya sukar bernafas.

Katanya, dia kini buntu memikirkan masa depan mereka terutama cara mendapatkan sumber kewangan kerana anaknya baru berusia 10 bulan dan suaminya memerlukan jagaan rapi.

Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata, hasil semakan PERKESO mendapati jumlah caruman Muhamad Daniel Azrai masih belum cukup menyebabkannya tidak layak mendapat pencen Ilat.

Bagaimanapun, PERKESO akan memberikan Muhamad Daniel Azrai bantuan khas seperti katil dan tilam angin selain bantuan bulanan berupa barangan seperti susu formula dan lampin pakai buang bagi meringankan beban keluarganya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nur Afifah di 011174100023500.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 6:53pm
d