mutakhir

Pasangan kekasih ditahan kes dadah

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

KEGIATAN pasangan kekasih yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah terbongkar apabila mereka dicekup pihak berkuasa di Kampung Tebuk Marso di Sungai besar, kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan ‘Op Nyah 1’ di sekitar kawasan berkenaan, kira-kira 7.30 malam.

Sumber berkata, pasangan itu ditahan selepas dilihat berkelakuan mencurigakan di tepi jalan utama.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek lelaki kemudian menemui tiga paket heroin yang disimpan dalam poket seluar kirinya.

“Tiada pergelutan berlaku dan kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kata sumber itu, hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Selain menghisap dadah, siasatan awal mendapati mereka disyaki turut terbabit dalam aktiviti pengedaran bahan haram berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan penahanan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 7:26pm
d