mutakhir

Najib dibicara kes 1MDB bermula 14 Mei

Oleh Murni Wan Omar

PERBICARAAN kes rasuah menggunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib akan bermula 14 Mei ini selama 14 hari.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh 14 Mei, 15 Mei dan 17 Mei, 28 Mei sehingga 31 Mei, 10 Jun sehingga 14 Jun, 18 Jun, 20 Jun sehingga 21 Jun untuk perbicaraan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pihak pembelaan tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung tarikh perbicaraan itu.

Kes itu bermula empat hari selepas perbicaraan kes membabitkan SRC International Berhad pada peringkat pendakwaan dijangka selesai.

Sepatutnya, perbicaraan kes membabitkan dana 1MDB itu bermula pada 15 April hingga 3 Mei depan, bagaimanapun ia dilapangkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan SRC International.

Bagi kes membabitkan 1MDB ini, pihak pendakwaan akan memanggil 52 saksi tempatan dan luar negara.

Najib, 66, didakwa dengan empat tuduhan sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 hingga 14 Jun 2011.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM90,899,927.28 di tempat sama antara 31 Oktober 2012 hingga 20 November 2012, manakala tuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2,081,476,926 dan RM49,930,985.70.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 tuduhan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 7:48pm
d