mutakhir

Tahan lapar demi permata hati

Oleh Mohd Khidir Zakaria

ANAK kembarnya kurang upaya malah tidak mampu menguruskan diri namun suri rumah ini tetap tabah mengharungi segala dugaan.

Lebih malang bagi Salina Abu Bakar, 38, dari Taman Seri Pagi, Senawang, apabila suaminya Shamsul Kamaruddin, 41, terbabit kemalangan Januari lalu menyebabkannya tidak boleh bekerja selama tiga bulan.

Salina berkata, anak kembarnya, Muhammad Saifullah dan Muhammad Saifudin, 10, dilahirkan normal ketika kandungan berusia tujuh bulan.

“Ketika berusia setahun, kedua-duanya menghidap demam panas dan doktor memaklumkan mereka mempunyai masalah kesihatan.

“Sehingga kini dua beradik ini kerap diserang sawan, tidak boleh berjalan dan menguruskan diri,” katanya ketika menerima kunjungan wakil pasar raya Enconsave yang menyampaikan sumbangan di rumahnya, hari ini.

Menurut Salina, dia dan suami hanya memiliki anak kembar terbabit biarpun kedua-duanya tidak sempurna.

“Walaupun mereka cacat, anak saya adalah amanah Allah. Baik atau buruk, sempurna atau tidak, mereka tetap anak-anak saya,” katanya sebak.

Muhammad Saifullah dan Muhammad Saifudin pernah belajar di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di daerah ini namun terpaksa berhenti disebabkan masalah pengangkutan dan kesihatan.

“Suami saya pengawal keselamatan namun terbabit kemalangan motosikal di Senawang Januari lalu. Ujian ini begitu berat kerana suami sumber utama kewangan keluarga,” katanya.

Selama tiga bulan ini, Salina mengasuh anak jiran dengan menerima bayaran RM450 sebulan.

“Saya dan suami terpaksa menahan lapar kerana perlu mengutamakan anak seperti susu dan lampin pakai buang. Saya bersyukur kerana rumah ini peninggalan arwah ayah,” katanya.

Menurut Salina, dia perlu menjaga dua anaknya dengan rapi berikutan mereka tidak boleh menguruskan diri termasuk berjalan.

“Setiap bulan saya membawa anak ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan hidroterapi. Untuk itu kami perlu menyewa kereta dengan kos RM120 bagi perjalanan pergi dan balik,” katanya yang sebelum ini menerima bantuan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9).

Sementara itu, Pengurus Cawangan Econsave Forest Heights, Senawang, Zainudin Mohd Yasin berkata, pihaknya menyerahkan barang makanan bagi meringankan beban keluarga itu.

“Kami amat prihatin dengan nasib keluarga asnaf dan akan membantu sedaya yang mampu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Salina boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional miliknya bernombor 0311829000273542.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 9:40pm
d