mutakhir

Dapur musnah terbakar

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

“SAYA cuba padamkan api menggunakan tuala basah dan menekup api malangnya api semakin marak dan menjulang tinggi,” kata Norzila Abd Manaf, 49, yang cuba memadamkan kebakaran dapur rumahnya di Jalan Sutra 5, Taman Tan Sri Yaakob, Johor Bahru hari ini.

Suri rumah itu berkata, dalam kejadian 1 tengah hari itu, dia baru selesai memasak dan sudah menutup api dapur gas seperti biasa namun dapur yang baru dibeli kurang sebulan lalu tiba-tiba terbakar.

Ketika kejadian, dua anaknya berusia 11 dan 24 tahun ada di rumah sebelum mereka menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan apabila api marak.

“Ketika melihat dapur terbakar saya ambil tuala basah, tekup kawasan terbakar itu untuk memadamkan api tetapi sebaliknya berlaku apabila api tiba-tiba marak dan menjulang tinggi.

“Rupa-rupanya api dipercayai berpunca dari bahagian bawah iaitu tong gas. Saya difahamkan, kemungkinan tiub gas mengalami masalah,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Norzila yang turut berniaga pakaian secara dalam talian bersyukur dia dan anak-anak tidak cedera malah pakaian jualan juga terselamat walaupun ditempatkan hampir dengan kawasan dapur.

Dia yang tinggal di rumah teres dua tingkat itu sejak 22 tahun lalu berkata, ini kebakaran pertama dialaminya dan mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas keseluruhan bahagian dapur, semua kelengkapan serta sebuah tandas bersebelahan dapur terbakar.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Mohd Saifulizam Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.10 tengah hari sebelum tiga jentera dengan 15 anggota tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

“Tiba di lokasi, kami terus bertindak memadamkan api di dapur rumah terbabit dan berjaya mengawal kebakaran 2 petang.

“Selepas berpuas hati semuanya selamat, kami menamatkan operasi dua minit kemudian.

“Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 11:10pm
d