mutakhir

Pencemaran Sungai Kim Kim tak jejas kemasukan pelancong

Oleh Nurul Amanina Suhaini

PENCEMARAN di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, 7 Mac lalu, tidak menjejaskan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung berkata, walaupun insiden itu berlarutan dua minggu, sehingga kini pihaknya tidak menerima aduan mengenai keengganan pelancong bercuti di Johor.

“Johor masih selamat untuk dikunjungi. Kerajaan negeri tidak menerima sebarang laporan atau aduan berhubung kait dengan pelancong tidak mahu melancong ke negeri ini.

“Johor adalah sebuah negeri yang mempunyai tempat menarik dan tentu saja kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa akan meningkat setiap tahun.

“Dengan pembabitan pelbagai pemain industri pelancongan, perangkaan kemasukan pelancongan mencatatkan peningkatan iaitu 15.84 juta orang hujung tahun lalu iaitu peningkatan 8.82 peratus atau 1.4 juta orang, berbanding hanya 14.44 juta kemasukan pelancong pada 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MATTA Johor, Kathryn Lee.

Cai Tung berkata, kerajaan negeri mensasarkan kemasukan pelancong sehingga 16.6 juta orang tahun ini, selain mengharapkan kira-kira lapan juta pelancong menetap di Johor sekurang-kurangnya semalam.

Tahun depan katanya, dengan adanya Tahun Melawat Johor 2020 dan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, diharapkan jumlah kemasukan pelancong mencecah 17.4 juta orang dengan 8.4 juta pelancong menghabiskan sekurang-kurangnya semalam di Johor.

Menurutnya, berikutan itu pihaknya menggalakkan pemain industri di setiap 10 daerah di Johor memainkan peranan lebih proaktif dalam menyumbang pembangunan pelancongan negeri selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Industri pelancongan Johor akan membangun dengan jayanya apabila ada kerjasama daripada semua pihak kerana ia bukan saja memberi gambaran positif kepada imej Johor malah manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2019 @ 11:56pm
d