mutakhir

Manfaat buat Negeri Sembilan jika ECRL diteruskan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

NEGERI Sembilan bakal menerima tempias pembangunan sekiranya projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) diteruskan pembinaannya.

Memberikan bayangan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kos pembinaan laluan itu dapat dikurangkan RM10 bilion lagi.

Bagaimanapun, katanya, rancangan itu tidak dapat didedahkan lebih lanjut dan beliau yakin rakyat negeri ini bakal menerima tempias manfaat.

“Kalau projek ini (ECRL) berjalan, jajaran akan berubah dan ini bagus untuk rakyat Negeri Sembilan.

“Tapi media jangan tanya lebih lanjut sebab saya tidak boleh cakap, tapi ini berita baik untuk Negeri Sembilan,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika hadir berkempen di Kuala Sawah, Rantau, bersama calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram, malam tadi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meluluskan projek berkenaan pada Oktober 2016 membabitkan kos RM55 bilion.

Namun, kos berkenaan dikatakan boleh mencecah RM130 bilion selepas mengambil kira faedah ditanggung kerajaan daripada pinjaman dibuat untuk membiayainya.

Rel sepanjang 688 kilometer berkenaan bakal menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pengkalan Kubor, Kelantan dijangka siap pada 2024.

Dalam majlis sama, Guan Eng berkata, penjualan kapal mewah Equanimity pada harga RM514 juta membuktikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sememangnya berlaku.

“Jika tipu (skandal 1MDB), macam mana kita boleh jual kapal mewah dengan harga AS$126 juta?” katanya.

Kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low akan dijual kepada Genting Malaysia Bhd atau Syarikat Tujuan Khas (SPV) selepas Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur memberikan kelulusan menerima tawaran untuk membeli kapal mewah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 12:29am
    d