mutakhir

Anggota tentera maut kemalangan

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

ANGGOTA tentera maut apabila motosikal ditunggangi dirempuh treler di Kilometer 0.5 Jalan Bahau-Rompin berhampiran Pekan Bahau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian 3 pagi itu, mangsa, Mohd Faizal Asmawi, 33, menunggang motosikal bersendirian dari arah Rompin menghala ke Pekan Bahau.

Katanya, sementara itu, treler dari Pekan Bahau hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dari motosikal dan maut di lokasi serta merta,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, kejadian itu berlaku berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Bahau sebelum sepasukan anggotanya bergegas untuk membantu.

“Pihak polis yang menerima panggilan mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi. Mayat dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat, manakala pemandu treler terbabit tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 12:10pm
d