mutakhir

Padah ikutkan nafsu

Oleh Garret Dawum

NAFSU serakah seorang lelaki yang sanggup merogol adik iparnya berusia 15 tahun terbongkar apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Suspek yang bekerja sebagai pencuci kereta berusia 23 tahun itu ditahan di tempat kerjanya di Tabuan, Kuching, pada 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, suspek direman selama empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

“Perbuatan keji lelaki itu terbongkar susulan laporan polis dibuat ibu mangsa selepas remaja itu tidak pulang ke rumah sejak Rabu lalu, sebelum dihantar suspek keesokan harinya.

“Namun, mangsa menceritakan kejadian sebenar selepas disoal siasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Samarahan,” katanya ketika dihubungi.

Aidil berkata, mengikut siasatan awal, kejadian pertama berlaku di sebuah rumah di sini ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu, manakala, kejadian kedua tidak diingati mangsa.

“Kali terakhir adalah pada Rabu lalu dan mangsa berkata suspek tidak pernah mengugutnya,” katanya.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan dan mangsa kini dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 12:51pm
d