mutakhir

[UPDATE] Asap di KOMTAR disebabkan kerosakan AHU [MTEROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

KEPULAN asap yang memenuhi laluan koridor di tingkat tiga Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown semalam berpunca kegagalan unit kendalian udara (Air Handling Unit) AHU bangunan itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, siasatan awal pihaknya mendapati asap tebal itu berpunca daripada kerosakan peralatan AHU.

“Akibat kerosakan itu, berlaku geseran pada kelengkapan di dalam unit itu menyebabkan asap keluar dengan banyak,” katanya.

Dalam kejadian semalam dua mangsa masing-masing seorang lelaki dan wanita dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas terkena serangan jantung dan asma ketika cuba menyelamatkan diri akibat kejadian itu.

Dalam kejadian 2.30 petang semalam itu, mereka dikatakan bergegas turun dari tingkat 51 dan 58 sejurus menyedari kepulan asap memenuhi ruang KOMTAR.

Kejadian itu turut menyebabkan ratusan pekerja dan pengunjung KOMTAR bergegas turun menyelamatkan diri.

Turut terjejas ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan EXCO Kerajaan Pulau Pinang yang sedang bermesyuarat.

Keadaan kemudian dilaporkan terkawal dengan orang ramai mula masuk semula ke dalam bangunan tidak lama selepas pemeriksaan dilakukan bomba.

Berita berkaitan

KOMTAR berasap

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 2:31pm
d