mutakhir

Gaji rendah, bukan Melayu kurang sertai ATM [METROTV]

Oleh Iskandar Shah Mohamed

SKIM tangga gaji rendah antara faktor kaum bukan Melayu masih kurang berminat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, skim bagi pasukan keselamatan itu mungkin perlu dikaji semula terutama anggota berpangkat rendah dalam usaha menarik minat golongan terbabit.

“Negara kita sememangnya tiada kerahan tenaga seperti negara lain dan khidmat dalam ATM adalah khidmat pilihan.

“Walaupun pelbagai kempen sudah dijalankan, ia masih gagal menarik minat kaum bukan Melayu menyertai pasukan keselamatan ini.

“Namun saya melihat pembabitan masyarakat India agak tinggi berbanding Cina dan ia mungkin kerana masalah tangga gaji kecil. Oleh itu, kerajaan perlu fikir tangga gaji lebih sesuai kepada ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Selangor Agro Market, Pameran Kerjaya dan Promosi ATM di MARDI Jalan Kebun, Klang hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, peruntukan disalurkan Kementerian Kewangan kepada pesara tentera semuanya sudah ditunaikan pihaknya setakat ini.

“Ia membabitkan 160,000 pesara dengan peruntukan bernilai RM79 juta oleh Kerajaan Persekutuan.

“Peruntukan itu termasuk pemberian sumbangan Bantuan Harapan Negara (BHN) berjumlah RM500 sempena sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 2:46pm
d