mutakhir

'Kenapa menangis tengok Fathimah'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

DEMI menjaga dan memberi tumpuan penuh kepada anak perempuan sedang tenat akibat leukemia tahap akhir, seorang juruteknik sanggup berhenti kerja sejak 2015.

Mohd Bukhori Md Yatim, 41, reda dengan takdir menimpa anak kelimanya, Fathimah Azzahra Mohd Bukhori, 6, dijangka mempunyai peluang lima bulan saja lagi untuk hidup.

Berikutan itu mereka sekeluarga kini bergantung kepada pendapatan isteri sebagai seorang guru.

Menceritakan ujian menimpa anaknya itu, Bukhori berkata, Fathimah disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika memasuki usia tiga tahun.

Katanya, kerana terlalu rapat dengan Fathimah dia mengambil keputusan berhenti kerja selepas anaknya itu kerap demam dan batuk.

“Pada mulanya Fathimah kerap demam dan susah nak elok, hingga terpaksa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

“Selepas seminggu menerima rawatan pakar mengesahkan Fathimah menghidap leukemia dan kami disarankan untuk bawa anak ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan kemoterapi,” katanya ketika ditemui di Kafe HTF, Kangar, hari ini.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, Fathimah pernah menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang pada 2016.

“Waktu itu dia disahkan sudah pulih, namun Februari lalu Fathimah mengalami demam yang teruk. Selepas menjalani pemeriksaan di HTF pakar sahkan penyakitnya itu menyerangnya semula.

“Fathimah hanya diberi antibiotik dan ubat tahan sakit saja. Sekarang dia sudah tidak boleh berjalan kerana struktur tulangnya menjadi lemah selain sudah tiada rawatan boleh mampu diberikan kepadanya.

“Memang kami sekeluarga amat sedih pada mulanya. Sekarang kami semua kena kuat, Fathimah akan tegur dan bertanya mengapa saya sering menangis setiap kali melihatnya,” katanya.

Menurutnya, dia kini mahu menghabiskan masanya bersama Fathimah di hospital agar anaknya tidak berseorangan.

Jelasnya, sebelum disahkan menghidap penyakit itu Fathimah adalah seorang yang periang.

Orang ramai yang ingin membantu Mohd Bukhori, boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun 114075797339 (Maybank) atas nama Mohd Bukhori Md Yatim.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 3:52pm
d