mutakhir

DAP pertimbang anak mendiang

Oleh Poliana Ronnie Sidom

DAP Sabah sudah menghantar senarai calon untuk dipertimbangkan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Parti itu turut mengesahkan antara nama yang dicalonkan adalah anak mendiang penyandang kerusi Parlimen Sandakan, Datuk Stephen Wong Tien Fatt iaitu Vivian Wong, 30, yang sebelum ini menjadi pegawai khas dalam Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, pihaknya kini menunggu jawapan daripada pusat untuk menentukan calon sesuai bertanding di kerusi itu yang kosong selepas kematian Tien Fatt.

“Kita sudah hantar tidak kurang daripada tiga nama dan sudah maklumkan kepada pusat mengenai calon.

“Sekarang kita masih tunggu siapa calon (yang akan ditentukan oleh pusat),” katanya ketika dihubungi di Sandakan, hari ini.

Beliau mengulas laporan portal berita tempatan yang mendakwa DAP Sabah mahu anak mendiang dipilih sebagai calon pada PRK Parlimen Sandakan kerana berpengalaman bertugas sebagai pegawai khas kepada kementerian itu, selain turut membantu bapanya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tien Fatt, 65, yang juga Pengerusi DAP Sabah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu pada 28 Mac lalu.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini dengan penamaan calon pada 27 April, manakala tarikh pengundian awal pada 7 Mei.

Ditanya berhubung persediaan berdepan pilihan raya, Ming Fung yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata, DAP Sabah sudah bersedia selepas proses pengebumian Tien Fatt selesai.

Biarpun tempoh singkat persediaan sebelum PRK berlangsung, katanya, beliau percaya DAP mampu mempertahankan kerusi itu dengan kerjasama daripada kerajaan Pakatan Harapan, selain beberapa parti di negeri ini termasuk Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Di pihak pembangkang, kita belum tahu siapa akan bertanding, namun PAS dan STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) sudah nyatakan kesediaan mereka.

“Ia terpulang kepada pengundi untuk tentukan siapa akan dipilih. Selepas kita memegang kuasa, mendiang (Tien Fatt) beri perkhidmatan yang baik kepada rakyat dan kita harap pengundi sedar dan beri peluang (kepada calon DAP),” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 5:44pm
d