mutakhir

Wanita maut, suami parah kemalangan motosikal

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SEORANG wanita maut selepas motosikal kuasa tinggi dinaiki bersama suami berlanggar dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 32, Jalan Kota Tinggi-Mersing, Mersing pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kejadian 9.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, Norimah Mohamed, 45, yang juga pembonceng motosikal Kawasaki GTR 1400 meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Mersing.

Menurutnya, suami mangsa yang juga penunggang motosikal, Ridzuan Muntok, 49, patah kaki kiri dan dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki pasangan suami isteri itu hilang kawalan ketika laluan selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Ketika kejadian, kenderaan MPV Nissan Grand Livina dalam perjalanan dari arah Mersing ke Johor Bahru.

“Secara kebetulan MPV berkenaan tiba di tempat kejadian dan tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pelanggaran,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Mersing, namun pembonceng wanita disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Katanya, pemandu MPV dan empat penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 11:59pm
d