mutakhir

Maut forklift jatuh cerun

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

LELAKI warga Indonesia maut selepas jentera ‘forklift’ atau trak angkat-susun dipandunya tergelincir sebelum menjunam ke dalam cerun sedalam dua meter di Bukit Cangkul, Jalan Pengkalan Ranggon, Kerteh di Chukai, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, mangsa, Yusof Daud, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairul Hasni Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian 2.47 petang sebelum enam pegawai dan anggota bersama satu jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, forklift berkenaan dalam keadaan terbalik di dalam cerun sedalam dua meter, manakala mangsa tersepit di tempat duduk pemandu jentera itu.

Katanya, sebelum kejadian mangsa memandu forklift berkenaan menuruni bukit secara mengundur dan dua lagi rakan sekerjanya yang juga warga Indonesia turut menaiki jentera itu.

“Bagaimanapun, ketika memandu secara mengundur, jentera itu tergelincir ke tepi tebing sebelum terjunam ke dalam cerun.

“Dua rakan mangsa yang berdiri di sebelahnya sempat melompat turun daripada kenderaan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Hasni berkata, difahamkan ketika kejadian tiga warga Indonesia itu yang bekerja mencari kayu untuk dibuat perabot mahu mengambil kayu di kawasan bukit berkenaan.

Beliau berkata, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan menaikkan mangsa.

Katanya, pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa yang parah pada kepala sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 12:19am
d