mutakhir

Ops SAR sambung pagi ini

Oleh Zaid Salim

USAHA mencari dan menyelamat (SAR) budak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Manir, Kuala Terengganu, dihentikan 11 malam tadi.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, operasi SAR menggunakan kaedah selaman dilakukan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu bermula 9 malam.

Bagaimanapun katanya, keadaan arus laju menyebabkan pihaknya terpaksa menghentikan operasi selepas dua jam.

“Seramai 12 anggota dan empat pegawai dari BBP Kuala Terengganu bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam SAR ini

“Walaupun kita menghentikan selaman, pencarian dengan kaedah pemantauan di permukaan air diteruskan dengan bantuan penduduk dan operasi SAR sepenuhnya akan disambung 7 pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rozizah berkata, sebelum kejadian, mangsa, Ahmad Akil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, 10, dikatakan ke sungai berkenaan bersama tiga rakan.

“Sebaik tiba di tebing, mangsa dikatakan turun ke sungai untuk mandi sementara tiga rakannya berada di tebing.

“Panik melihat mangsa yang dipercayai tidak pandai berenang tenggelam timbul, tiga rakan mangsa dikatakan meninggalkan kawasan berkenaan tanpa memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kehilangan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Manir itu disedari bapanya yang mencari mangsa di kawasan sungai berkenaan selepas anaknya tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang semalam.

Katanya, bapa mangsa, Ahmad Ruhaimi Mohd Rehan, 40, dari Jalan Tualang Manir, mengesyaki anak lelakinya lemas apabila menemui kasut mangsa di tebing sungai berhampiran Balai Polis Manir.

Berita berkaitan:

  • Bapa hanya temui kasut anak
  • Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 8:33am
    d