mutakhir

Kempunan lombong emas

Oleh Mohd Rafi Mamat

CUBAAN enam lelaki meraih pendapatan lumayan menerusi kegiatan melombong emas secara haram di dua kawasan Hutan Simpan Kekal Tersang dan Sega, dekat Raub, tidak kesampaian apabila mereka ditahan ketika sedang bekerja, kelmarin.

Dalam operasi penguatkuasaan bermula pada 2 petang dilakukan 11 anggota Unit Penguatkuasa (UPK) Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), berjaya menangkap tiga warga tempatan dan tiga warga asing berusia 25 hingga 55 tahun selepas melakukan risikan sejak minggu lalu selain maklumat awam.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, mereka yang ditahan dikesan melakukan kesalahan iaitu berada dalam hutan simpan kekal tanpa permit selain meneroka hutan simpan kekal secara haram.

Katanya, kesalahan lain yang turut dilakukan ialah menebang pokok dan membuat jalan tanpa permit serta menempatkan jentera dan peralatan lain dalam hutan simpan kekal tanpa kebenaran.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita motosikal jenis KLX 150cc dan tujuh jentera yang digunakan untuk membuat jalan dan membersih kawasan itu.

“Individu yang ditahan mendakwa pihaknya sudah membuat permohonan permit berada dan melakukan kerja dalam hutan simpan kekal bersama jentera, namun belum diluluskan lagi.

“Ingin saya tegaskan selagi surat kebenaran atau permit tidak dikeluarkan pihak jabatan bermakna mereka tidak boleh berada dalam hutan simpan kekal bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati tiga warga asing berasal dari China dan Thailand yang juga pemandu jentera dipercayai berada dalam hutan simpan kekal Tersang dan Sega sejak beberapa minggu lalu dan bergerak secara berkumpulan bagi menjalankan kegiatan perlombongan.

Katanya, tujuh jentera yang disita ialah lima jengkaut, masing-masing sebuah jentera mengangkat kayu dan jentolak yang kini ditempatkan di pusat penyimpanan barangan rampasan JPNP di Batu 18, Raub.

“Semua warga asing yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang untuk tindakan lanjut. Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan dalam hutan simpan kekal, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.

Katanya, untuk rekod kerajaan negeri meluluskan sebanyak 331 lesen mencari gali dan pajakan lombong membabitkan kawasan seluas lebih 16,249 hektar.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 10:26am
d