mutakhir

'Jangan sekat individu tunai haji kali kedua'

Oleh Nik Sukry Ramli

IBADAT haji sebenarnya tidak boleh disekat dan keputusan Tabung Haji (TH) menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji tidak lagi layak mendaftar semula untuk kali kedua, adalah tidak sepatutnya berlaku.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, walaupun TH memberi alasan senarai menunggu terlalu panjang dan untuk memberi peluang kepada individu lain ke Tanah Suci, perkara berkaitan ibadat haji ini bukanlah boleh disekat atau dihadkan atas alasan seperti itu.

"Kalau kita faham syarat untuk menunaikan fardu haji, tidak akan timbul isu had atau sekat keinginan orang yang berkemampuan untuk menunaikan (ibadat) haji.

"Jika mereka mampu, kenapa kita hadkan peluang kepada mereka untuk ke sana (Tanah Suci)... niat kita untuk beribadat kepada Allah SWT mana boleh disekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman TH dalam temubual eksklusif bersama BH yang disiarkan hari ini mengenai keputusan institusi pengurusan dana haji itu menetapkan pendeposit yang sudah menunaikan haji tidak lagi boleh mendaftar semula dengan TH bagi mengerjakan ibadat itu untuk kali kedua.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah seramai 3.2 juta orang yang berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan ibadat itu.

Abdul Rahman berkata, sepatutnya pihak TH dan kerajaan Persekutuan meneruskan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi untuk menambahkan lagi kuota haji untuk Malaysia.

Katanya, kerajaan Arab Saudi sendiri tidak meletakkan syarat bahawa setiap orang Islam hanya dibenarkan sekali sahaja datang ke negara mereka untuk menunaikan haji.

"Elok bincang untuk tambah kuota daripada kita sekat atau hadkan keinginan rakyat negara ini yang mahu menunaikan haji. Saya percaya setiap perkara (keputusan) dibuat ada jalan penyelesaian yang lebih baik," katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 11:50am
d