mutakhir

'Jangan ada pilih kasih dalam pentadbiran'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

DAKWAAN kawasan diwakili pembangkang akan dipinggirkan kerajaan daripada pembangunan dianggap tidak adil kepada rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN), Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu sekali gus menyebabkan pembangunan tidak seimbang antara kawasan diwakili wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, pembangunan perlu dilakukan secara menyeluruh kerana ia penting untuk negara dan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

"Jangan ada dasar yang pinggirkan kawasan yang diwakili pembangkang kerana kerajaan yang dipilih adalah kerajaan rakyat.

"Jadi rakyat berhak menerima nikmat pembangunan walaupun kawasan mereka diwakili pembangkang. Jangan ada pilih kasih dalam pentadbiran," katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan BN Rantau, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengatakan rakyat di Rantau mungkin tidak mendapat manfaat pembangunan jika mengekalkan BN di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Pemangku Presiden UMNO berkata, beliau bersedia disiasat sekiranya wujud salah guna kuasa sepanjang memimpin kerajaan negeri lebih 14 tahun.

"Kalau ada maklumat saya lakukan salah guna kuasa sepanjang jadi Menteri Besar laporan kepada pihak berkuasa boleh dibuat.

"Saya tidak gentar kerana yakin tidak melakukan kesalahan. Tapi kecewa jika dakwaan itu sekadar mahu membunuh karektor saya sebagi calon menjelang minggu terakhir kempen," katanya.

Selain Mohamad, PRK DUN Rantau yang berlangsung 13 April ini menyaksikan persaingan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PH) diwakili Dr S Streram dan calon bebas Mohd Nor Yassin dan R Malarvizhi.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 12:21pm
    d