mutakhir

'Mana ada kena tangkap?' [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

“MANA ada kena tangkap (polis). Dia ada dengan saya ikut berkempen hari ini. Tuduhan itu fitnah,” kata Dr S Streram.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu menafikan dakwaan orang kanannya ditahan polis semalam berhubung pemasangan kain rentang berunsur provokasi di beberapa lokasi baru-baru ini.

“Dia tak pernah kena tahan, ada di sini (program kempen di Kampung Sagga). Kita dah buat laporan polis dan biar polis siasat.

“Dia pengurus kempen untuk saya. Siapa cakap dia kena tahan, tak ada orang tahan dia,” katanya ketika ditemui pemberita ketika berkempen di Kampung Sagga, hari ini.

Pagi tadi tular di media sosial mengatakan polis menahan individu didakwa mempunyai kaitan dengan pemasangankain rentang berunsur provokasi di beberapa lokasi, Jumaat lalu.

Sementara itu, jurucakap polis bagi PRK DUN Rantau, Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin ketika dihubungi berkata, sehingga kini, masih tiada tangkapan berhubung kes itu, dan pihak polis sedang menggiatkan usaha mengesan individu bertanggungjawab.

Jumaat lalu, beberapa kain rentang menggunakan ayat provokasi menyampaikan mesej supaya tidak mengundi Dr Streram dipasang di sekitar DUN Rantau.

Antara lokasi dipasang kain rentang tertera gambar Dr Streram dalam dialek Negeri Sembilan itu adalah di Kampung Pasir yang dipercayai digantung malam Jumaat lalu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 1:15pm
    d