mutakhir

Penuntut politeknik lemas

Oleh Recqueal Raimi

KEMERIAHAN sekumpulan penuntut politeknik berkhemah berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di Sungai Wariu di Kampung Nahaba, Kota Belud, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Asrul Hanna, 18, disedari hilang oleh rakannya sebelum ditemui lemas di sungai berkenaan.

Mangsa kemudian dibawa ke darat dan diberi bantuan pernafasan (CPR) ketika dalam perjalanan ke Hospital Kota Belud namun disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati 16 penuntut lelaki turun ke sungai untuk mandi manakala empat lagi penuntut perempuan berada di tapak perkhemahan.

Katanya, perkhemahan itu dirancang sekumpulan penuntut terbabit dan mendapat kebenaran daripada penasihat akademik pusat pengajian berkenaan.

“Bagaimanapun selepas 45 minit bermandi-manda, semua penuntut lelaki itu naik ke darat dan seorang rakan mereka menyedari mangsa hilang.

“Dua penuntut lelaki turun semula ke sungai dan menyelam untuk mencari mangsa sebelum menemui mangsa lemas di dasar sungai pada kedalaman 2.13 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Bombalai, Tawau, itu dirujuk ke hospital berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

caption

1. MANGSA lemas ketika mandi bersama sekumpulan pelajar sebuah kawasan pelancongan, Kampung Nahaba, Kota Belud.

tamat

From: Norasikin

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 1:30pm
d