mutakhir

'Saya nampak pusaran angin'

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SAYA nampak pusaran angin datang dari arah ladang kelapa sawit berdekatan, sebelum ia menghampiri rumah kami lalu menghempas bumbung rumah,” kata Abdul Samad Abdul, 59.

Rumahnya antara tiga yang rosak akibat dilanda ribut dalam kejadian di Kampung Perak, Bukit Selambau, Sungai Petani, 4.30 petang petang semalam.

Abdul Samad berkata, dia ketika itu berada di luar rumah, manakala dua anak lelakinya serta seorang adik lelakinya berada di dalam rumah.

“Waktu itu hujan lebat berserta kilat, pusaran angin bergerak begitu pantas sebelum saya mendengar dentuman kuat dari dalam rumah.

“Apabila masuk ke dalam rumah saya lihat sebahagian bumbung di bahagian dapur sudah hilang, manakala sebahagian lagi runtuh.

“Bahagian dinding rumah juga hampir runtuh akibat pukulan pusaran angin itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu adalah kali pertama berlaku di kawasan itu, bagaimanapun dia bersyukur tiada kecederaan yang dialami oleh ahli keluarganya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, kejadian ribut itu turut menyebabkan beberapa pokok tumbang sehingga menghalang jalan ke kediaman penduduk.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.53 petang sebelum lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan.

“Tindakan pemotongan dan pembersihan dahan pokok tumbang dilakukan selain anggota turut mendapatkan maklumat mangsa ribut.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 1:38pm
d