mutakhir

Polis tahan 'polis'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menahan seorang lelaki dan seorang wanita petang semalam, selepas kedua-dua individu itu menyamar sebagai anggota polis dan menyamun pekerja kilang warga asing, dalam kejadian di Taman Desa Cemerlang, dekat Johor Bahru, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kedua-dua suspek berusia awal 30-an ditahan kira-kira 3.30 petang semalam selepas polis menerima laporan dibuat mangsa yang juga warga Bangladesh pada 12 tengah malam kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis, kejadian berlaku 8.30 malam kelmarin yang mana mangsa berusia 24 tahun didatangi dua suspek ketika berada di tepi jalan di Taman Desa Cemerlang, di sini.

“Suspek menaiki motosikal memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menyatakan kepada mangsa bahawa mereka mahu melakukan pemeriksaan sebelum meminta mangsa menunjukkan pasport.

“Gagal menunjukkan dokumen perjalanan berkenaan, suspek lelaki kemudian mengarahkan mangsa menaiki motosikal dan membawanya ke taman permainan di kawasan berhampiran sebelum memukul dan mengambil telefon bimbit mangsa.

“Minyak motosikal suspek bagaimanapun habis dan dia mengarahkan mangsa menolaknya. Curiga dengan tindakan suspek, mangsa yang mengesyaki suspek bukan anggota polis kemudian meminta pertolongan daripada orang awam di kawasan berhampiran sebelum suspek melarikan diri dan meninggalkan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat dan risikan pihaknya berjaya menahan suspek lelaki di bilik sewanya di Taman Puteri Wangsa di sini, petang semalam, manakala suspek wanita ditahan di tepi Jalan Gemilang di sini.

Katanya, hasil tangkapan polis merampas motosikal dipercayai digunakan suspek dan menjumpai semula telefon bimbit milik mangsa.

“Kita akan memohon reman selama tiga hari ke atas kedua-dua suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan Seksyen 170 kanun sama, kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 1:54pm
d