mutakhir

Tak sempat hadir temu janji di HTAA

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

DUDA beranak dua ditemui tidak sedarkan diri di bilik sewanya di bangunan kedai, Jalan Alor Akar, Kuantan, semalam, sebelum disahkan meninggal dunia.

Terdahulu lelaki berusia 54 tahun itu dikatakan mempunyai temu janji di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bersama rakannya sebelum ditemui duduk di kerusi tidak sedarkan kira-kira jam 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa yang menunggu lelaki terbabit untuk ke HTAA.

Namun, dia tidak muncul sebelum rakannya mengambil keputusan ke bilik sewa mangsa bagi melihat keadaan lelaki itu.

“Mangsa ditemui dalam keadaan duduk di kerusi tidak sedarkan diri. Rakan mangsa kemudian menghubungi pihak ambulans untuk mendapatkan bantuan sebelum dia disahkan meninggal dunia.

“Berdasarkan keterangan rakan mangsa, dia berjanji membawa mangsa ke HTAA untuk mendapatkan rawatan hemodialisis sebelum rakannya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Noor berkata, pemeriksaan fizikal dijalankan ke atas mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayat dibawa ke unit Forensik HTAA untuk tindakan lanjut.

Katanya, anak mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan meminta bedah siasat tidak dijalankan ke atas mayat bapanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 5:24pm
d