mutakhir

Pemuda dipercayai lemas

Oleh Nurul Fhatihah

PEMUDA yang menghidap penyakit sawan atau epilepsi ditemui mati dipercayai akibat lemas di sungai berhampiran kebun sawit, Kesang Division Estate, Kesang Pajak, Jasin, semalam.

Mangsa, M Selvan, 28, ditemui di dasar sungai sedalam 0.97 meter masih berbaju-T warna hitam dan berseluar pendek warna coklat, kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa dikatakan keluar memancing seorang diri kira-kira 10 pagi.

Beliau berkata, keluarga yang bimbang sesuatu berlaku kerana mangsa belum pulang sehingga lewat petang, mereka berusaha mencarinya.

“Motosikal dan peralatan memancing mangsa ditemui di tepi sungai, yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari Taman Kesang Ria.

“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah terhadap mayat di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, hasil pemeriksaan rekod kesihatan mendapati mangsa mempunyai epilepsi dan menerima rawatan di Hospital Jasin dan Melaka.

“Mayat kemudian dihantar ke bilik forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 6:33pm
d