mutakhir

Penganjur loteri diberkas

Oleh Shamsul Munir Safini

TIGA individu yang dipercayai penganjur judi loteri diberkas polis dalam beberapa serbuan di sekitar Butterworth antara jam 3 hingga 5 petang semalam.

Serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara itu menyerbu beberapa premis di Mak Mandin dan Butterworth selepas menerima aduan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 sehingga 43 tahun dalam serbuan itu.

“Kami turut merampas 10 keping slip kertas dan 12 keping resit kertas bercetak tulisan disyaki judi loteri awam haram.

“Selain itu, polis juga merampas dua pencetak, empat telefon bimbit serta dua pencetak mudah alih di satu daripada sebuah premis di situ,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai dan kesemua barang rampasan dibawa ke IPDSPU untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 8:25pm
d