mutakhir

Leka sabung ayam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TUJUH individu warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan ditahan ketika leka menyabung ayam di Taming Jaya, Kajang, hari ini.

Dalam serbuan Operasi Laga kira-kira jam 11 pagi itu, pasukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan lapan individu termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 46 tahun.

Pegawai operasi, Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, siasatan mendapati lima daripada mereka adalah pemain judi, manakala dua lagi penganjur.

“Warga tempatan yang ditahan pula disyaki terbabit dengan kongsi gelap kumpulan 04.

“Suspek juga memiliki rekod individu dikehendaki bersabit kes jenayah yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya merampas lapan ayam, 12 pisau yang dijadikan taji ayam dan wang tunai berjumlah RM777.

“Aktiviti judi ini aktif sejak dua bulan lalu dengan majoriti individu yang menyertainya menetap di sekitar Balakong, Seri Kembangan dan Kajang.

“Aktiviti pertaruhan laga ayam biasanya dibuat sekitar jam 10 pagi hingga jam 1 tengah hari dengan nilai pertaruhan bermula RM100 sehingga RM500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 44 (1) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 9:46pm
d