mutakhir

Nampak biji mata sahaja

Oleh Siti Rohana Idris

LEBIH 100 penduduk di Kampung Berangan Pondok di sini, kelmarin, bermandi lumpur apabila masing-masing berebut menangkap ikan di tiga kolam milik penduduk.

Suasana itu ibarat pesta kerana bukan sahaja golongan dewasa, tetapi turut disertai kanak-kanak yang sebahagian besarnya kelihatan biji mata sahaja disebabkan badan dipenuhi selut.

Seawal jam 7 pagi lagi penduduk sudah tercegat di tepi kolam menunggu air dipam dengan menggunakan enjin.

Sebaik acara bermula, masing-masing mula ‘terjun’ dan meraba-raba di permukaan dan dasar kolam berselut bagi mencari ikan yang bersembunyi.

Separuh daripada ikan yang ditangkap dibahagikan sama rata kepada penduduk kampung manakala selebihnya dijual pemilik kolam di pasar berdekatan.

Pemilik kolam, Mohd Fakrudin Mat Ail, 32, berkata aktiviti menangkap ikan air tawar itu diadakan bagi membersihkan tiga kolam ikan terbiar yang dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan.

Katanya, program bermula jam 9.30 pagi terdiri dalam kalangan penduduk kampung mendapat sambutan menggalakkan.

“Setiap kali banjir memang ikan dari luar iaitu yang dibawa arus banjir masuk ke dalam kolam dan terperangkap.

“Jadi saya merasakan semua kolam itu sudah tidak dapat menampung ikan yang semakin membiak, maka saya adakan aktiviti menangkap ikan untuk membersihkan semua kolam itu.

“Ada pelbagai jenis ikan air tawar dalam kolam ini, antaranya haruan, keli, puyu dan sepat,” katanya ketika ditemui.

Penduduk, Mohd Razman Mohd Noor, 44, berkata acara itu boleh dianggap seperti serampang dua mata kerana selain untuk membersihkan kolam ikan terbiar, ia juga dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk.

“Sejak beberapa hari sebelum aktiviti ini berlangsung lagi sudah ramai teruja untuk memeriahkan acara.

“Keadaan semakin mengujakan apabila banyak ikan yang dapat ditangkap sehingga ada yang mencecah tiga kilogram,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 6:01am
d