mutakhir

Bagus OKU kental

Oleh Siti Rohana Idris

ATAS dasar mahu berdikari lelaki orang kurang upaya (OKU) yang kudung kaki kiri ini sanggup menawarkan perkhidmatan menggunting rambut secara bergerak.

Bagus Jam, 45, berasal dari Senai, Johor, menawarkan perkhidmatan itu sejak 2002 selepas beberapa tahun berhenti kerja menerusi skim pemberhentian sukarela (VSS) di sebuah kilang elektronik di negeri itu.

Bagus yang kudung kaki kiri sehingga pangkal paha akibat kemalangan jalan raya pada 1993 tidak mempedulikan kecacatan kekalnya itu dan menunggang motosikal untuk ke lokasi pelanggannya.

Dia memberitahu, kemahiran menggunting rambut dipelajari ketika mengikuti kursus di sebuah akademi sebelum ini.

“Selepas beberapa tahun, saya mula menawarkan perkhidmatan menggunting rambut secara bergerak ke lokasi yang dimahukan pelanggan. Pernah saya gunting rambut pelanggan di tepi tong sampah kerana tidak ada premis khusus untuk berikan perkhidmatan itu.

“Alhamdulillah selepas lima tahun mengumpul wang, saya menyewa premis dengan peralatan yang terhad,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program Azam Bandar 2019 di PCB Resort, Kota Bharu, semalam.

Dalam program itu, Bagus terpilih menerima anugerah peserta khas sempena majlis penutup Program Azam Bandar 2019 siri ketiga di bawah kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Mahabbah Malaysia (Mahabbah).

Menurutnya, selepas menyertai Program Azam Bandar pada 2016/2017, perniagaan diusahakan mula berkembang.

Sebelum mengikuti program itu Bagus, memperoleh sekitar RM2,000 sebulan dan kini pendapatannya meningkat kepada RM5,000.

Bapa kepada empat anak ini berkata, biarpun sudah memiliki kedai sendiri, perkhidmatan gunting rambut secara bergerak tetap diteruskan.

“Harga yang dikenakan agak berpatutan iaitu RM8 bagi dewasa, pelajar RM5, kanak-kanak (RM4) dan percuma bagi OKU,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 10:26am
d