mutakhir

'Daniel dah boleh tidur lena'

Oleh Ramli Ibrahim

“DANIEL sudah dapat tidur lena,” kata Zariah Wahab, 39, ibu kepada kanak-kanak berusia 12 tahun yang menghidap penyakit ketumbuhan misteri di belakang pinggangnya.

Muhamad Arshad Daniel Halim, 12, di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Gua Musang, menghidap penyakit itu sejak lahir dan semakin serius sejak bulan lalu.

Zariah berkata, Daniel dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak minggu lalu untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu.

Katanya, pembedahan yang dijalankan pada Rabu lalu selama 10 jam itu berjaya membuang ketumbuhan.

“Saya akui pada mulanya bimbang dengan keselamatan Daniel berikutan doktor yang merawatnya di hospital sebelum ini menyatakan risiko tinggi jika dibuat pembedahan.

“Tetapi, Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan dia dapat tidur lena biarpun terpaksa mengiring,” katanya.

Menurutnya, Daniel sudah tidak sabar untuk kembali sekolah untuk membuat persediaan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

“Dia juga teringin sangat untuk menemui rakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Chalil yang turut mendoakan dia selamat selepas pembedahan itu,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, murid tahun enam itu tidak dapat hadir ke sekolah sejak sebulan lalu kerana menderita penyakit ketumbuhan di belakang badan.

Muhamad Arshad Daniel menanggung sakit dan tidak boleh tidur sebelum dikejar ke Hospital Gua Musang (HGM) dan dihantar ke HUSM.

Berita berkaitan

Mohon doakan Daniel

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 12:46pm
d