mutakhir

'Rampas jika terbukti salah'- Tok Mat [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

KERAJAAN Negeri Sembilan berhak merampas tanah yang didakwa dimiliki individu tanpa menggunakan saluran yang betul.

Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan merampas itu patut dilakukan jika wujud salah guna kuasa ketika pemberian tanah itu dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan lebih 14 tahun lalu, segala keputusan berkaitan tanah akan dilakukan Exco kerajaan negeri selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.

“Rampas (tanah) jika betul berlaku salah laku dan ketidakpatuhan prosedur untuk tanah itu dimiliki. Mereka (kerajaan negeri) ada hak dan kuasa.

“Sepanjang jadi MB (Menteri Besar) saya tidak meluluskan pemilikan tanah atas kapasiti peribadi. Boleh siasat jika ada bukti,” katanya dalam sidang media di Pusat Gerakan BN, di Rembau hari ini.

Mohamad atau mesra disapa Tok Mat berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar yang mendakwa Mohamad Hasan memberi tanah kepada kroni ketika menjadi orang nombor satu dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Zulkefly mendakwa pemilik tanah tidak membayar cukai tanah selepas mendapat tanah berkenaan menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil.

Dalam ceramah malam tadi juga, Zulkefly berkata, pendedahan mengenai pemilik tanah itu akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kerajaan negeri sudah bincang dengan Yayasan Negeri Sembilan untuk rampas tanah itu,” katanya dipetik.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 3:16pm
d