mutakhir

Polis Selangor sekat 5.07 kg Methamphetamine

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEKUMPULAN ahli sindiket pengedaran dadah ditahan ketika sedang melakukan transaksi penjualan bahan terlarang itu secara terbuka itu di depan sebuah restoran di Bandar Baru Bangi, , Khamis lalu.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor pada 2 petang itu berjaya menahan tiga wanita dan dua lelaki berusia 34 hingga 44 tahun.

Selain itu polis turut merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 5.07 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM355,250.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dadah dirampas dipercayai diperoleh daripada rangkaian sindiket pengedaran di Johor dan untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Suspek bekerja sebagai jurukimpal, tukang jahit, mekanik, jurujual dan seorang lagi adalah penganggur.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua suspek positif dadah hasil ujian saringan air kencing, mereka direman selama enam hari hingga 10 April (Rabu),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam, hari ini.

Noor Azam berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,400 ketika serbuan dan menyita tiga kenderaan iaitu Nissan Teana, Perodua Kembara serta Honda City.

Katanya, selain itu pelbagai barang kemas bernilai RM10,000 dan akaun bank kelima-lima suspek berjumlah RM650,000 turut disita.

“Sindiket dipercayai sudah beroperasi hampir setahun dan dadah dirampas cukup untuk kegunaan 10,150 orang penagih bagi tempoh sehari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 3:25pm
d