mutakhir

Impian tunai umrah lebur

Oleh Shahrinnahar Latib

WARGA emas dari Bandar Pusat Jengka, Maran, kerugian RM4,150 selepas diperdaya seorang wanita menawarkan pakej mengerjakan umrah yang tidak wujud, tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, sekitar September tahun lalu, suspek menawarkan pakej umrah kepada suri rumah berusia 77 tahun itu.

“Pada 21 September warga emas itu memasukkan wang berjumlah RM2,000 ke akaun suspek, dia turut melakukan bayaran secara tunai berjumlah RM2,000.

“Mangsa juga menyerahkan pasport dan duit tambang bas sebanyak RM150 kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, sehingga hari ini mangsa gagal menghubungi dan mengesan suspek yang dipercayai sudah melarikan diri.

“Mangsa yang tidak berpuas hati kerana merasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, semalam,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sedang memburu suspek yang dipercayai menetap di FELDA Sungai Tekam, Jerantut.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 3:37pm
d